Friday 23 August 2013

UKM Dapat NC Baru


PUTRAJAYA: Tempoh perkhidmatan Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilanjutkan sehingga 31 Disember, sebelum digantikan Naib Canselor yang baharu.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali akan menggantikan Sharifah Hapsah berkuatkasa 1 Januari tahun depan.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Noor Azlan dibuat selepas mengambil kira pengalaman akademik dan pentadbiran beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Di samping itu, kepakaran beliau dalam bidang ekonomi dan dasar pengajian tinggi negara diharapkan dapat membawa UKM ke peringkat yang lebih tinggi seiring dengan Pelan Transformasi Kerajaan dan Pelan Transformasi Ekonomi negara".

Noor Azlan berpengalaman luas dalam bidang ekonomi dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Malaysian Development Institute, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Penasihat Pengguna Kebangsaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu. Selain itu, beliau yang juga Ketua Kluster bagi Kluster Pengurusan dan Ekonomi, Majlis Profesor Negara pernah memegang pelbagai jawatan pentadbiran di UKM seperti Dekan Graduate School of Business dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.

Malah kepakaran beliau dalam bidang ekonomi diiktiraf di peringkat antarabangsa setelah dilantik sebagai Mason Fellow di Kennedy School of Government, Harvard University dari Jun 2010 hingga Mei 2011.

Sementara itu, kementerian turut melahirkan penghargaan kepada Sharifah Hapsah atas kepimpinan dan bakti yang dicurahkan beliau sejak dilantik pada 28 Ogos 2006 sehingga berjaya meletakkan asas yang kukuh kepada UKM untuk menghadapi cabaran yang mendatang.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment