Saturday 24 August 2013

Rosnah Tawar Diri Bertanding EXCO Wanita


KOTA KINABALU: Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menawarkan diri bertanding jawatan Exco Wanita Umno pada pemilihan parti Oktober ini sebagai usaha meneruskan khidmatnya kepada parti.

Rosnah yang akan melepaskan jawatan Ketua Puteri atas faktor umur berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor dan peranan untuk berkhidmat sebagai orang baharu dalam pergerakan itu.

"Berdasarkan pengalaman menyandang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Puteri Umno Negeri Sabah dan Ketua Pergerakan Puteri Umno yang saya galas bermula dari bawah, saya yakin dapat menyumbang serta memberi khidmat terbaik kepada Pergerakan Wanita Umno secara khususnya dan parti secara amnya," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata keputusan untuk bertanding dalam Exco Wanita Umno adalah demi memperkukuhkan saf perjuangan parti serta membantu pucuk pimpinan tertinggi dalam memastikan keutuhan Umno sebagai sebuah parti membela rakyat.

"Secara jujurnya, saya menyokong kepimpinan (Ketua Wanita Umno) Datuk Seri Shahrizat (Abdul Jalil) kerana melihat di bawah kepimpinan beliau, Pergerakan Wanita Umno terus utuh dan cemerlang dengan pelbagai program yang telah dilaksanakan demi mengangkat martabat wanita serta memberi khidmat kebajikan kepada segenap golongan rakyat".

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menyifatkan langkahnya sebagai pemimpin Puteri menawarkan diri bertanding Exco Wanita merupakan proses transisi semulajadi yang positif di dalam parti.

Beliau berkata penerimaan transisi secara positif pasti mampu menangkis pandangan bahawa pergerakan Wanita tidak menerima kehadiran anggota Puteri ke dalam pergerakan itu yang seterusnya memperkuatkan saf kepimpinan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment