APABILA Adam a.s dan isterinya dihalau 
keluar dari syurga kerana memakan buah larangan, kedua-duanya mengakui kesalahan 
masing-masing dan menyalahkan diri sendiri terhadap kesalahan yang dilakukan. 
Mereka tidak menyalahkan iblis kerana merancang komplot yang mendorong mereka 
melakukan kesalahan itu, dan Adam tidak menyalahkan isterinya kerana 
mengheretnya ke dalam masalah itu.
Sebaliknya, kedua-duanya mengakui 
bahawa mereka telah menzalimi diri sendiri kerana membiarkan hawa nafsu 
menguasai pertimbangan mereka sehingga akhirnya mereka melanggar batas yang 
ditetapkan Allah SWT.
Kisah Adam dan Hawa disebut dalam 
al-Quran sebagai pengajaran kepada manusia keseluruhannya. Setiap anak Adam 
pasti akan melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pesalah adalah yang banyak 
bertaubat. Perbezaan antara Adam dengan iblis adalah iblis enggan bertaubat 
terhadap kesalahan dirinya bahkan enggan mengakui kesalahannya. Dengan sebab 
kesombongannya itu maka tertutuplah kepadanya pintu kebaikan dan jadilah ia 
makhluk terkutuk.
Taubat adalah asas kepada perubahan, 
sama ada perubahan yang kita maksudkan itu menyentuh soal perubahan diri 
peribadi seorang manusia ataupun perubahan masyarakat, bangsa dan negara secara 
keseluruhannya.
Sekiranya kita mahu melakukan islah 
terhadap masyarakat, bangsa dan negara kita, perkara pertama yang mesti 
dilakukan adalah bertaubat, iaitu masyarakat, bangsa dan negara itu hendaklah 
mengenalpasti kesalahan diri, mengakuinya, menyesalinya dan mengambil 
tindakan-tindakan yang wajar agar tidak mengulanginya lagi. Semua itu memerlukan 
kebijaksanaan, keberanian dan tawaduk.
Kesemua sifat yang disebutkan itu, 
walaubagaimanapun, sudah hampir tiada lagi dalam diri kaum Muslimin hari ini 
yang begitu parah dilanda krisis makna diri.
Justeru, sudah menjadi kebiasaan mereka 
untuk menyalahkan orang lain terhadap masalah dan krisis yang melanda dunia 
Islam. Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara Barat kebiasaannya menjadi 
sasaran kecaman mereka apabila berlaku sesuatu krisis dalam negara-negara 
Islam.
Yang tidak pernah kita dengar adalah 
kecaman terhadap diri sendiri. Ia adalah sesuatu yang amat sukar untuk 
dilakukan. Lebih mudah mengecam anasir-anasir luar sebagai punca segala masalah 
dan krisis, namun tiada apa yang dapat diselesaikan dengan cara 
itu.
Memang tidak dinafikan kemungkinan ada 
pihak luar yang menghasut dan mengadu-domba sehingga berlaku permusuhan dan 
pertumpahan darah sesama Islam. 
Namun begitu, bukankah kesalahan 
sebenar tetap terletak kepada diri sendiri? Kenapakah begitu mudah untuk kita 
mendengar hasutan dan fitnah orang lain? Tidakkah itu menunjukkan bahawa ada 
sesuatu yang amat tidak kena dengan diri kita sendiri, dan dengan cara kita 
memahami dan menangani masalah yang kita hadapi?
Islah hanya boleh berlaku apabila ada 
perubahan dalaman, iaitu perubahan yang berpunca dari kehendak sendiri, kerana 
kita tidak boleh mengubah orang lain agar tidak berkomplot dan menimbulkan 
masalah kepada kita. 
Yang kita boleh lakukan adalah mengubah 
diri, dan dengan cara itu secara perlahan-lahan masyarakat keseluruhannya akan 
turut berubah sedikit demi sedikit. Perubahan yang kita maksudkan itu merujuk 
kepada keinsafan dan kefahaman yang mendalam terhadap hakikat diri, kehidupan 
dunia dan nasib akhir di akhirat.
Perubahan diperlukan hanya kerana 
perkara-perkara berkenaan telah dikelirukan makna dan pengertiannya sehingga 
membawa kepada pensekularan dan kecintaan melulu terhadap kehidupan dunia. 
Perubahan sebenar hanya akan berlaku melalui pendidikan yang dirancang dengan 
baik sehingga berupaya menyampaikan ilmu yang benar, yang seterusnya 
mengeluarkan manusia dari kejahilan makna diri.
Perubahan secara perlahan-lahan, 
berhemah dan terancang, walaubagaimanapun, tidak begitu menarik untuk 
dibincangkan, apatah lagi diusahakan. Para aktivis politik mahukan perubahan 
segera, dan yang mereka maksudkan adalah perubahan pucuk pimpinan negara, tidak 
kira apa caranya sama ada secara demokrasi mahupun secara revolusi. Mungkin yang 
mereka andaikan bahawa pemimpin negara itulah punca segala masalah dan 
kezaliman, maka harapan mereka adalah pemimpin baru yang dilantik akan berupaya 
menyelesaikan segala masalah yang mereka hadapi.
Sekiranya pemimpin itu juga gagal, dia 
juga akan dijatuhkan dan pemimpin baru dinaikkan sehinggalah bertemu pemimpin 
yang sesuai. Yang mungkin tidak mereka sedari adalah kerugian jangka panjang 
akibat krisis politik yang tidak sudah-sudah. Tanpa kestabilan politik tidak 
mungkin dapat dirancang pembangunan ekonomi dan diselenggarakan pendidikan. 
Bahkan nyawa, harta benda dan kedaulatan negara pun mungkin terancam. Pendek 
kata maslahah umat menjadi pertaruhan pihak-pihak yang 
berkepentingan.
Di Mesir perubahan pucuk pimpinan 
negara diusahakan melalui peti undi manakala di Syria jalannya adalah melalui 
muncung senjata. Walau apa pun alasan yang diberikan, ternyata kepada yang 
melihat dan berfikir bahawa di kedua-dua negara berkenaan, perubahan yang 
berlaku adalah perubahan ke arah yang membinasakan (fasad), bukan ke arah 
kebaikan seperti yang dikehendaki dari islah.
Seperti biasa, apabila demokrasi tidak 
menjadi, manakala revolusi membawa kepada pertumpahan darah yang tak sudah, yang 
disalahkan adalah 'musuh Islam', yang tidak mahu melihat Islam ditegakkan! 
Itulah retorik yang dimainkan di seluruh dunia Islam bagi meraih simpati 
terhadap apa yang kononnya adalah perjuangan Islam.
Sampai bilakah kita akan terus 
memperbodohkan diri sendiri dengan meletakkan kesalahan kepada orang lain? 
Sejahat-jahat musuh, menurut sebuah hadis, adalah hawa nafsu yang berada dalam 
diri seseorang itu. Hawa nafsu inilah yang menjadi punca segala kejahatan, 
maksiat dan kerosakan. Melalui hawa nafsu inilah iblis memperdaya manusia dengan 
berbagai-bagai cara yang pada zahirnya kelihatan baik tetapi hakikatnya keji dan 
menjijikkan

No comments:
Post a Comment