Sunday, 25 August 2013

Hisham Sokong Zahid, Waytha Patut Letak Jawatan

Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyokong gesaan supaya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan jika tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

Beliau berkata Waytha Moorthy dilihat gagal mengawal emosi dan mendahulukan kepentingan politik berbanding tanggungjawab kolektif sebagai anggota Kabinet.      
“Saya setuju sangat dengan Zahid...apa yang disebut 101 peratus betul. Sebagai ahli Kabinet, kita tidak boleh meletakkan kepentingan peribadi melebihi pertimbangan secara kolektif,” katanya semalam.

Pertikai tindakan polis

Beliau mengulas cabaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini supaya Waytha Moorthy melepaskan jawatan berikutan tidak puas hati dengan kematian lima lelaki, dipercayai anggota kongsi gelap dalam operasi polis di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Hishammuddin berkata, beliau dan Zahid masing-masing mempunyai pandangan peribadi, namun sebarang pertimbangan atau kenyataan yang dibuat sebagai anggota kabinet sentiasa berlandaskan tanggungjawab kolektif.

“Sekiranya saya beremosi dalam membuat keputusan kes tragedi bas di Genting Highlands baru-baru ini, saya akan hentikan semua perkhidmatan bas ke Genting. Tetapi saya tidak boleh ikut emosi dan harus membuat keputusan berdasarkan kepimpinan yang waras,” tegas Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan.
Waytha Moorthy sebelum ini mempersoal tindakan polis kerana mendakwa sukar mempercayai berlaku kejadian tembak-menembak selepas melihat gambar mayat.

BERNAMA

1 comment: