Friday 23 August 2013

Pensyarah UPNM Hentam Mahfuz Omar

Dengan hormatnya saya ingin merujuk kepada artikel yang diterbit dalam Harakah pada 3 July 2013 yang bertajuk “UPNM: Kenapa panglima tidak lagi jadi panglima?”
(http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/20486-upnm-kenapa-panglima-tidak-lagi-jadi-panglima) dan juga YouTube dalam website tuan yang bertajuk “PAS persoal kenapa Tan Sri Zainal diturunkan pangkat?” pada 2 Julai 2013 (http://www.youtube.com/watch?v=B-f49ZtykF8&feature=youtu.be).

Untuk maklumat para pembaca, saya telah menulis kepada Ketua Pengarang Harakah, En Zulkufli Sulong, untuk menarik balik artikel dan video tersebut selepas saya emel YB Dato’ Mahfuz Omar untuk berbuat demikian tetapi tidak ada maklumbalas dari beliau. En Zulkifli tidak menarik balik artikel dan video tersebut dan telah meminta untuk menerbit apa yang saya emel kepada beliau. Memandangkan kedua-dua video dan artikel tersebut penuh dengan fitnah terhadap Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Zulkifli Bin Hj Zainal Abidin, saya terpaksa menulis artikel ini untuk diterbitkan dalam Harakah.

Sebenarnya, ada seorang penulis yang bernama Mohd Sayuti Omar yang juga telah menulis artikel yang hampir sama dan disiarkan dalam The Malaysian Insider. Saya telah menerangkan kepada pihak pengurusan The Malaysian Insider perkara yang sebenarnya berlaku dan mereka telah menarik balik artikel tersebut. Saya juga berharap pihak Harakah akan berbuat demikian selepas artikel saya diterbitkan kerana Harakah adalah akhar sebuah parti Islam yang semestinya tidak akan menyiarkan perkara fitnah terhadap orang lain.

Untuk maklumat tuan, saya pernah berkhidmat di bawah Tan Sri Zulkifli dan berani mengakui bahawa apa yang YB Dato’ Mahfuz katakan adalah fitnah. Bagaimana YB Dato’ Mahfuz, seorang Naib President sebuah parti Islam boleh menyebarkan fitnah tanpa mengenali orang yang difitnah? Apa beza YB Dato’ Mahfuz dengan ahli politik Umno yang selalu dikutuk oleh PAS?

Untuk maklumat tuan, Tan Sri Zulkifli adalah Naib Canselor (NC) kedua UPNM. Beliau (pada masa itu Dato’ Zulkifli) telah diarahkan oleh KEMENTAH untuk mengambilalih kepimpinan UPNM kerana pencapaian UPNM oleh pihak pengurusan sebelum beliau adalah tidak memuaskan. Tan Sri Zulkifli telah dapat memajukan UPNM hinggakan disegani oleh universiti dan maktab pertahanan di rantau ini. Tan Sri Zulkifli adalah seorang yang “lead by example”. Pada 7.30 pagi, kami boleh nampak beliau mula membuat pemantauan terhadap kadet. Pada pukul 6.30 petang beliau masih lagi memantau latihan kadet. UPNM boleh dikatakan berada dalam masa kegemilangan di bawah kepimpinan Tan Sri Zulkifli. Staf yang rajin bekerja semua suka beliau kerana kami yakin dengan kepimpinan beliau untuk menjadikan UPNM sebagai sebuah universiti yang bertaraf dunia. Yang tidak suka beliau adalah pemalas yang tidak berkualiti. Malang untuk UPNM, Tan Sri Zulkifli, kerana kejujuran dan dedikasi beliau, diberi kenaikan pangkat kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, dan ditarik balik oleh KEMENTAH.

UPNM terpaksa menerima pihak pengurusan baru yang dihantar oleh KEMENTAH. Pentadbiran pihak pengurusan tersebut penuh dengan kontroversi sepertimana yang disiarkan oleh Harakah sendiri di
http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=15167&Itemid=59 (guridam Mat Gerek yang bertajuk “Dilema UPNM”) dan  http://bm. harakahdaily.net/ index.php/ berita-utama/8186- pas-persoal-rugayah-dilantik-tnc-upnm
(artikel yang bertajuk “PAS persoal Rugayah dilantik TNC UPNM” pada 18 Februari 2012).

Pengurusan tersebut ingin menukar UPNM dari sebuah universiti pertahanan untuk tentera kepada sebuah universiti untuk orang awam. Kursus teras universiti seperti “Laws of Armed Conflict” dan “Introduction to Strategic Studies” semua dibuang. Perkhidmatan pensyarah tentera tidak disambung kontrak dan diganti dengan pensyarah awam. Perkara ini telah dipersoalkan oleh Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS pada 22 November 2012, “Pas mahu KPT siasat 92 pensyarah UPNM ditamat kontrak” (http://www.sinarharian.com.my/politik/pas-mahu-kpt-siasat-92-pensyarah-upnm-ditamat-kontrak-1.106086).

Kes plagiat dan kes manipulasi data penyelidikan “dibenarkan” berlaku di kalangan pensyarah muda dan senior.  Kenaikan pangkat ke taraf Profesor Madya dan Profesor dibuat tanpa penilaian luar sepertimana yang dilakukan oleh universiti lain.

Oleh sebab salah laku oleh pihak atasan menjadi semakin berleluasa, sekumpulan kecil pensyarah senior telah menyuarakan perkara tersebut kepada pihak atasan. Kerana itu, mereka telah dianiayai. Silalah lihat YouTube di mana mereka tengah berdebat dengan Timbalan Naib Canselor berkenaan dengan salahlaku pihak atasan (http://www. youtube.com/ watch?v= AkHjKNfhoqs).

Akhirnya sekumpulan pensyarah tentera dan bekas tentera cuba menyelesaikan masalah UPNM dengan menghantar petisyen kepada Lembaga Pengarah UPNM (salinan kepada ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera dan Kementerian Pengajian Tinggi). Akhirnya, Majlis Angkatan Tentera, dengan perkenan Yang DiPertuan Agong (bukan bekas Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Zahid Hamidi) memutuskan untuk menarik balik bekas NC UPNM dan menghantar Tan Sri Zulkifli untuk memulihkan UPNM yang “sakit tenat”. Staf yang rajin dan berintegriti gembira dengan kepulangan Tan Sri Zulkifli kerana kami memang berharap UPNM akan dapat menjadi sebuah universiti bertaraf dunia yang kami boleh banggakan. Ini adalah kisah UPNM dan bukan apa yang YB Dato’ Mahfuz atau Mohd Sayuti Omar hebahkan.

Berkenaan dengan kenyataan mengapa Tan Sri Muhiyuddin lambat menandatangan surat perlantikan untuk Tan Sri Zulkifli, ini adalah apa yang saya fahami daripada rakan-rakan di UPNM, “it is because little Napoleans at Ministry of Education who do not want a military man to be a VC has been using the delaying tactics to stop Tan Sri Zul from coming in.”

Berkenaan dengan pembelian pesawat tentera (RIV), saya meminta Harakah dan YB Dato’ Mahfuz menyiasat dahulu siapa yang ada autoriti untuk membeli peralatan tersebut dan fahami istilah “chain of command” dalam angkatan tentera.

Saya berharap apa yang saya telah terangkan akan dapat menyakinkan pihak Harakah untuk menarik balik artikel dan YouTube berkenaan dengan Tan Sri Zulkifli yang penuh dengan fitnah, terutama sekali bila ia disiarkan dalam bulan puasa yang suci. Menfitnah orang tanpa asas adalah satu perkara yang betul-betul jahat, menjijikkan dan termasuk dalam salah satu dosa besar. Lagipun, artikel dan YouTube tersebut juga menjejaskan titik peluh perjuangan kami selama dua tahun untuk mempertahankan struktur dan integriti sebuah universiti pertahanan.

Kalau YB Dato’ Mahfuz Omar dan Harakah betul-betul prihatin terhadap UPNM, silalah buat gesaan untuk satu siasatan dibuat terhadap pengurusan yang lepas mengenai segala tuduhan yang dibuat oleh sekumpulan pensyarah di UPNM hinggakan Tan Sri Zulkifli terpaksa dipanggil semula untuk menerajui UPNM. Mereka yang didapati salah perlu diambil tindakan yang sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

Prof. Dr Teh Yik Koon
Jabatan Pengajian Strategi
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

No comments:

Post a Comment