Beberapa hari lepas, pakatan pembangkang
melancarkan manifesto khusus untuk negeri Johor yang bertemakan “Johor Maju dan
Berkebajikan” di Hotel New York di Johor Bharu. Antara intipati utamanya ialah
jawatan Menteri Besar hanya dipegang selama dua penggal sahaja.
“Ini salah satu cadangan yang paling bersejarah
sebab jawatan menteri besar itu dihadkan kepada dua penggal sahaja … macam
presiden Amerika.
“Sebab kita merasakan mereka yang memegang
kuasa terlalu lama akan cenderung untuk melakukan ‘power corrupt’,” demikian
kata Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau ketika berucap dalam majlis
tersebut.
Menariknya pelancaran manifesto serba unik ini
dijayakan dan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang
sudah menjadi Menteri Besar Kelantan selama 5 penggal berturut-turut.
Kehadiran Nik Aziz bererti MB Kelantan itu
bersetuju dengan intipati manifesto PR Johor, ia juga seakan bermaksud Nik Aziz
mahu mengajar rakyat Johor cara berpolitik.
Tambah unik lagi, majlis pelancaran manifesto
ini turut disertai Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sudah berpuluh tahun
menguasai parti itu seumpama mengemudi sebuah syarikat hak milik keluarga.
Memang menarik, unik dan pelik, bukan begitu?
Tapi ia tidak begitu mengejutkan, kerana sudah tabii semula jadi pemimpin PR
untuk berjanji dan bercakap tanpa melihat kelemahan yang mereka sendiri
miliki.
Tapi tak mustahil, hakikat sebenarnya PR Johor
khususnya pemimpin DAP negeri itu sengaja menekankan isu MB dua penggal sekadar
untuk menyindir Nik Aziz sambil sinis menempelak Lim Kit Siang.
Apa pun, sama ada BN atau PR, hakikatnya hak
mutlak penentuan siapa yang akan mengisi jawatan itu hanya akan diputuskan oleh
DYMM Sultan Johor. Parti yang menang hanya berhak membawa nama calon tapi yang
akan mengisi jawatan itu kelak tetap di tangan DYMM Sultan Johor.
Demikian juga berapa penggal seseorang itu
menjadi MB, ia tetap memerlukan perkenan DYMM Sultan Johor. Baginda tahu berapa
lama seseorang itu wajar menjadi MB di negeri yang di perintah oleh
Baginda.
Nik Aziz yang sudah berpenggal-penggal menjadi
MB di Kelantan sepatutnya tidak perlu campur tangan di negeri orang dengan
melancarkan manifesto PR yang menetapkan berapa lama seseorang itu boleh menjadi
MB di negeri Johor.
Ia seperti satu penghinaan terhadap rakyat
Johor, dan sengaja mahu memperlekehkan kuasa DYMM Sultan Johor. Serahkan saja
soal pemerintahan negeri kepada rakyatnya. Siapa Nik Aziz untuk menentukan itu
dan ini?
Lagi pun nampak sangat canggungnya seperti
ketam mahu mengajar anaknya berjalan lurus apabila Nik Aziz yang sudah lima
penggal menjadi MB tiba-tiba mahu memaksa rakyat Johor menerima idea seseorang
MB hanya berhak memegang jawatan itu selama dua penggal sahaja.
No comments:
Post a Comment