Umno Perlis tentu berbahagia dan lega sakan malam ini kerana Pakatan Rakyat negeri itu telah mempamirkan politik tidak sekata dan tidak menunjukkan kesepakatan jitu dalam kerjasama. Ini ekoran hasrat PKR untuk mengumumkan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya sebagai calon parlimen Kangar tidak tercapai apabila PAS terlebih dahulu mengumumkan calonnya untuk kerusi berkenaan.
Kehadiran ribuan rakyat Perlis di ceramah perdana di Kuala Perlis malam ini antara lain untuk mendengar pengumuman rasmi Juanda sebagai calon kerusi parlimen Kangar. Anwar Ibrahim sendiri dijangka akan mengumumkan Juanda sebagai calon parlimen Kangar. Mereka yang hadir dikatakan ternanti-nanti pengumuman itu dan akhirnya pulang dengan rasa kecewa dan marah apabila nama Juanda tidak diumumkan.
Kegagalan itu sudah pasti mengembira Umno kerana ia menggambarkan yang Pakatan Rakyat Perlis tidak mantap dan sekata. Peristiwa malam ini menjadikan Pakatan Rakyat Perlis kini sudah retak yang akan menunggu belah bila-bila masa saja.
PAS beberapa hari lalu telah mengumumkan bekas pengurus besar Pos Malaysia Baharuddin Ahmad sebagai calon mereka untuk kerusi parlimen Kangar. Pas juga turut sama membolot dua lagi kerusi parlimen, Arau dan Padang Besar. Langkah PAS itu menghairankan ramai pemerhati politik dan merasakan parti itu tamak kerana membolot semua kerusi parlimen. Tindakan mengumumkan calon tanpa persetuan PKR itu satu perbuatan menghina.
"Tuan apa sudah jadi dengan PAS Perlis ini?" begitulah tanya seorang yang sedang mengikut ceramah Pakatan Rakyat di Kuala Perlis menerusi telefon sebaik mengetahui yang nama Juanda tidak diumumkan malam ini.
"Apa nak jadi dengan Pakatan Rakyat ini bang. Nampaknya impian ke Putrajaya akan tinggal mimpi saja, terburai di tengah jalan," katanya dengan nada kesal.
"Abang bagi tahulah kepada PAS jangan tamak sangat..," katanya lagi penuh mengharap. Pemanggil ini tidak menyebut namanya tetapi dia mengakui sangat rapat dengan blog saya.
Keluhan dari pemanggil itu merisaukan saya. Saya juga nampak begitu, PAS Perlis tidak menunjukkan semangat kerjasama yang baik dengan rakan mereka. Apa yang berlaku di Perlis itu semacam ia disengajakan dan ada motif tertentu. Semacam ada elemen untuk mengkhianati Pakatan Rakyat.
Sepatutnya PAS Perlis tidak berbuat demikian? Sikap tolenrasi yang tinggi seharusnya tunjukkan bukannya sifat tamak. Apakah ianya arahan dari PAS Pusat ataupun saja-saja pandai PAS Perlis? PAS pusat perlu melihat dan mengkaji semula tindakan PAS negeri berkenaan. PAS Pusat tidak patut membiarkan apa yang berlaku di Perlis itu diuruskan sendiri oleh PAS negeri itu. PAS Kuala Lumpur harus lebih bertanggungjawab terhadap PAS Perlis.
Tidak mustahil kalau PAS membiarkan apa yang berlaku di Perlis itu tanpa dipantau, semua usaha dan pengemblengan tenaga selama ini untuk menumbangkan BN sia-sia sahaja. Paling mendukacitakan rakyat khasnya penyokong Pakatan Rakyat akan hampa di atas apa yang berlaku.
Mereka akan hilang kepercayaan kepada Pakatan dan menyokong Umno/BN yang kini nampak semakin kemas dan sekata. Sikap PAS itu juga akan dijadikan bukti dan dalil besar oleh Umno bahawa parti-parti gabungan Pakatan Rakyat lebih mementingkan diri sendiri dari menjaga kepentingan rakyat.
Apakah yang berlaku di Perlis itu atas kehendak tokoh spritual PAS Perlis Haron Din? Apakah tindakan itu adalah atas ilham dan wahyu daripada Haron Din yang baru-baru ini telah memberi kata dua yang memedihkan kepada Anwar Ibrahim berhubung jawatan perdana menteri?
Beberapa minggu lalu Haron Din dilaporkan telah menemui Anwar dan memberi formula mengenai jawatan perdana menteri. Sebenarnya formula dikemukakan Haron Din itu sudah dianggap 'mabuk todi' kerana belum apa-apa beliau sudah bercakap siapa lebih layak menjadi PM sedang kemenangan masih berada di dalam laut.
Saya yakin isu calon dan pembolotan kerusi ini kalau tidak diselesaikan secara baik Pakatan Rakyat Perlis akan bergolak di mana natijahnya nanti satu kerusi pun tidak akan berjaya ditawan. Orang-orang PKR yang mengundi di semua kawasan di Perlis akan membalas dendam sama ada tidak keluar mengundi ataupun mereka akan undi Umno/BN
No comments:
Post a Comment