Wednesday, 17 April 2013

Kit Siang Ramal Menang 45% Di Gelang Patah

Lim Kit Siang dan Abdul Ghani Othman
Lim Kit Siang dan Abdul Ghani Othman

JOHOR BAHRU - Penasihat DAP Lim Kit Siang mengambil pendekatan sebagai 'underdog' di dalam pertembungannya dengan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman bagi kerusi Parlimen Gelang Patah.
  
Walaupun menjangkakan pertarungan di antara DAP dan Barisan Nasional (BN) di kerusi panas Gelang Patah itu akan berlangsung dengan sengit, tetapi beliau meramalkan ia akhirnya akan memihak kepada Abdul Ghani.
  
"Saya meramalkan peluang saya (untuk menang) di kerusi Parlimen Gelang Patah adalah 45 peratus, berbanding 55 peratus bagi Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman," katanya kepada pemberita hari ini.
  
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman senarai calon-calon DAP bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di sini.
  
Selepas digembar-gemburkan sebelum ini, semalam Abdul Ghani pada majlis pengumuman calon-calon BN di Johor mengesahkan beliau akan mencabar penasihat DAP itu di kerusi Parlimen Gelang Patah di dalam pertarungan yang disifatkan sebagai 'Titanic Battle' pada PRU13 ini.
  
Abdul Ghani yang memegang jawatan sebagai menteri besar selama empat penggal mulai 1995 sebelum ini bertanding di kerusi DUN Serom, manakala Kit Siang pula merupakan penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timur. - Bernama

No comments:

Post a Comment