Sohaimi Shahadan
KUALA LUMPUR - Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Sohaimi Shahadan hari ini membayangkan kemungkinan akan bertanding jawatan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti Oktober ini.
Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai pendiriannya hanya akan diputuskan minggu hadapan, selepas memikirkan semasak-masaknya dan mengkaji sokongan daripada akar umbi.
"Buat masa ini saya tidak boleh menyatakan sama ada saya bertanding di peringkat Pemuda atau MT. Nanti saya akan umumkan apabila tiba masanya iaitu selepas mesyuarat Exco Pemuda Umno pada awal September ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan makmal prabelanjawan 2014 anjuran Biro Ekonomi dan Usahawan Pemuda Umno di sini, hari ini.
Mengulas mengenai beberapa pemimpin termasuk pemimpin baharu yang masing-masing mengesahkan akan bertanding dan mempertahankan jawatan baik di peringkat Pemuda mahu pun MT, Sohaimi berkata ia menunjukkan bahawa Umno sebuah parti demokratik.
"Dengan adanya gabungan pemimpin lama dan baharu, ia adalah petanda bahawa Umno kini dalam usaha meremajakan parti. Ini akan digabungkan dengan semua kekuatan yang ada untuk membolehkan Umno mendapat pandangan baru, terus relevan dan mantap di persada politik tanah air," katanya.
Pada pemilihan Umno dijadual 19 Oktober, seramai 146,500 anggota parti di peringkat akar umbi dari 191 bahagian akan terlibat dalam pemilihan MT meliputi presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 anggota MT selain memilih anggota jawatankuasa bahagian. - Bernama
No comments:
Post a Comment