Monday, 5 August 2013

Biskut Raya Terakhir Untuk Mak...

Biskut raya terakhir untuk mak
Sub Inspektor Zakarian Abdul Razak (dua, kiri) mengetuai bacaan doa untuk arwah Shamsiah sebelum mayat dibawa ke HKKB.                                                       
                                                     
  • Biskut raya terakhir untuk mak                                                      
  • Marzila meratap pemergian ibunya sambil ditenangkan Helmi ketika tiba di tempat kejadian
  • Biskut raya terakhir untuk mak
  • Zan dipeluk anak bongsunya ketika tiba di Unit Forensik HKKB,                                                                                                         
  •  
      
      
    BUKIT TAGAR - “Biskut-biskut tu saya yang buat. Saya buat untuk mak.”

    Demikian kata Marzila Zan, anak sulung arwah Shamsiah Kisan, 65, yang terbabit dalam nahas jalan raya di Kilometer 423.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara kira-kira jam 8.26 pagi semalam, ketika dia melihat suaminya, Helmi Muhammad, 41, membawa bungkusan biskut ke dalam kereta mereka.

    Marzila kelihatan begitu sebak ketika suaminya membawa bungkusan biskut-biskut tersebut daripada kereta jenis Proton Iswara dinaiki bapanya, Zan Tak, 68, dan arwah ibunya itu dalam kejadian berkenaan.

    Marzila ditenangkan suaminya ketika jenazah ibu mereka dibawa menaiki kenderaan polis ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

    Suasana pilu turut menyelubungi pekarangan Unit Forensik HKKB apabila anak-anak dan ahli keluarga mangsa tiba menuntut jenazah Shamsiah.

    Helmi berkata, kali terakhir anak-anak dan cucu bertemu arwah adalah pada Sabtu lalu ketika mereka sekeluarga berkumpul untuk berbuka puasa di rumah arwah ibu mentuanya itu di Kampung Chubadak Dalam, Sentul Pasar, Kuala Lumpur.

    Menurutnya, itulah kali terakhir semua anak arwah berkumpul setelah sekian lama tidak dapat berbuka puasa bersama.

    “Kali terakhir kami semua berjumpa ketika berbuka puasa Sabtu lalu, sebab biasanya kalau dapat jumpa, pasti seorang daripada adik-beradik tak ada.

    “Arwah tak menunjukkan sebarang tanda pelik. Cuma malam tu lepas berbuka, arwah nak sangat beli karpet. Bila tanya karpet tu nak buat apa, arwah kata nak pakai raya lah.

    Jadi, arwah terus pergi beli,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Unit Forensik HKKB, di sini, semalam.

    Helmi juga berkata, arwah ibu dan bapa mentuanya yang tinggal di Sentul merancang untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung mereka di Kuala Kangsar, Perak.

    Menurutnya, mereka berdua balik lebih awal, manakala anak-anak pula bercadang untuk pulang pada pagi hari raya.

    “Ketika itulah kami siapkan kuih raya untuk dibawa balik ke kampung, tapi ada antara kuih-muih itu bertaburan atas jalan selepas kemalangan,” katanya.


    Tidak tahu punca kemalangan

    Sementara itu, suami arwah yang merupakan pesara tentera berkata, dia reda dengan ketentuan ALLAH SWT, namun tidak tahu punca sebenar kemalangan kerana berlaku secara tiba-tiba sebaik melalui kawasan tersebut.

    Menurutnya, kelajuan kenderaan jenis Proton Saga Aeroback ketika itu hanya sekitar 80 kilometer sejam, malah kenderaan itu tidak mampu bergerak pada kelajuan tinggi.

    “Lepas ni tak ada hati nak bawa kereta lagi, nak pencen, umur pun dah nak 70 tahun,” katanya.

    Zan berkata, isterinya menghidap penyakit strok sejak 2009, namun kini beransur pulih setelah melalui beberapa rawatan fisioterapi.

    Menurut saudara mangsa pula, arwah Shamsiah merupakan isteri kedua Zan setelah isteri pertamanya yang juga kakak arwah meninggal dunia dalam perjalanan ke Dataran Merdeka untuk menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1979.


    Akibat tayar pancit

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi pula berkata, kereta Proton Iswara dinaiki pasangan suami isteri itu terbabas ke kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang lebuh raya.

    “Kereta jenis Iswara (dinaiki mangsa) terbabas ke kiri jalan dipercayai akibat tayar pancit.

    "Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7.45 pagi itu, penumpang bahagian hadapan dikenali sebagai Shamsiah Kisan, maut di tempat kejadian, manakala suaminya, Zan Tak pula cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

    Menurutnya, kejadian disiasat Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Maszaliza Ibrahim @ Othman di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kemalangan tersebut berlaku hanya selang empat hari selepas kemalangan maut mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan pasangan kembarnya di Kilometer 423.8 iaitu hanya 200 meter daripada lokasi mengorbankan arwah Shamsiah.

    No comments:

    Post a Comment