Wednesday, 28 August 2013

Sikap Pemimpin PAS Yang Diceritakan Dari Zaman Nabi Ada


APABILA Adam a.s dan isterinya dihalau keluar dari syurga kerana memakan buah larangan, kedua-duanya mengakui kesalahan masing-masing dan menyalahkan diri sendiri terhadap kesalahan yang dilakukan. Mereka tidak menyalahkan iblis kerana merancang komplot yang mendorong mereka melakukan kesalahan itu, dan Adam tidak menyalahkan isterinya kerana mengheretnya ke dalam masalah itu.

Sebaliknya, kedua-duanya mengakui bahawa mereka telah menzalimi diri sendiri kerana membiarkan hawa nafsu menguasai pertimbangan mereka sehingga akhirnya mereka melanggar batas yang ditetapkan Allah SWT.

Kisah Adam dan Hawa disebut dalam al-Quran sebagai pengajaran kepada manusia keseluruhannya. Setiap anak Adam pasti akan melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pesalah adalah yang banyak bertaubat. Perbezaan antara Adam dengan iblis adalah iblis enggan bertaubat terhadap kesalahan dirinya bahkan enggan mengakui kesalahannya. Dengan sebab kesombongannya itu maka tertutuplah kepadanya pintu kebaikan dan jadilah ia makhluk terkutuk.

Taubat adalah asas kepada perubahan, sama ada perubahan yang kita maksudkan itu menyentuh soal perubahan diri peribadi seorang manusia ataupun perubahan masyarakat, bangsa dan negara secara keseluruhannya.

Sekiranya kita mahu melakukan islah terhadap masyarakat, bangsa dan negara kita, perkara pertama yang mesti dilakukan adalah bertaubat, iaitu masyarakat, bangsa dan negara itu hendaklah mengenalpasti kesalahan diri, mengakuinya, menyesalinya dan mengambil tindakan-tindakan yang wajar agar tidak mengulanginya lagi. Semua itu memerlukan kebijaksanaan, keberanian dan tawaduk.

Kesemua sifat yang disebutkan itu, walaubagaimanapun, sudah hampir tiada lagi dalam diri kaum Muslimin hari ini yang begitu parah dilanda krisis makna diri.

Justeru, sudah menjadi kebiasaan mereka untuk menyalahkan orang lain terhadap masalah dan krisis yang melanda dunia Islam. Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara Barat kebiasaannya menjadi sasaran kecaman mereka apabila berlaku sesuatu krisis dalam negara-negara Islam.

Yang tidak pernah kita dengar adalah kecaman terhadap diri sendiri. Ia adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan. Lebih mudah mengecam anasir-anasir luar sebagai punca segala masalah dan krisis, namun tiada apa yang dapat diselesaikan dengan cara itu.

Memang tidak dinafikan kemungkinan ada pihak luar yang menghasut dan mengadu-domba sehingga berlaku permusuhan dan pertumpahan darah sesama Islam. 

Namun begitu, bukankah kesalahan sebenar tetap terletak kepada diri sendiri? Kenapakah begitu mudah untuk kita mendengar hasutan dan fitnah orang lain? Tidakkah itu menunjukkan bahawa ada sesuatu yang amat tidak kena dengan diri kita sendiri, dan dengan cara kita memahami dan menangani masalah yang kita hadapi?

Islah hanya boleh berlaku apabila ada perubahan dalaman, iaitu perubahan yang berpunca dari kehendak sendiri, kerana kita tidak boleh mengubah orang lain agar tidak berkomplot dan menimbulkan masalah kepada kita. 

Yang kita boleh lakukan adalah mengubah diri, dan dengan cara itu secara perlahan-lahan masyarakat keseluruhannya akan turut berubah sedikit demi sedikit. Perubahan yang kita maksudkan itu merujuk kepada keinsafan dan kefahaman yang mendalam terhadap hakikat diri, kehidupan dunia dan nasib akhir di akhirat.

Perubahan diperlukan hanya kerana perkara-perkara berkenaan telah dikelirukan makna dan pengertiannya sehingga membawa kepada pensekularan dan kecintaan melulu terhadap kehidupan dunia. Perubahan sebenar hanya akan berlaku melalui pendidikan yang dirancang dengan baik sehingga berupaya menyampaikan ilmu yang benar, yang seterusnya mengeluarkan manusia dari kejahilan makna diri.

Perubahan secara perlahan-lahan, berhemah dan terancang, walaubagaimanapun, tidak begitu menarik untuk dibincangkan, apatah lagi diusahakan. Para aktivis politik mahukan perubahan segera, dan yang mereka maksudkan adalah perubahan pucuk pimpinan negara, tidak kira apa caranya sama ada secara demokrasi mahupun secara revolusi. Mungkin yang mereka andaikan bahawa pemimpin negara itulah punca segala masalah dan kezaliman, maka harapan mereka adalah pemimpin baru yang dilantik akan berupaya menyelesaikan segala masalah yang mereka hadapi.

Sekiranya pemimpin itu juga gagal, dia juga akan dijatuhkan dan pemimpin baru dinaikkan sehinggalah bertemu pemimpin yang sesuai. Yang mungkin tidak mereka sedari adalah kerugian jangka panjang akibat krisis politik yang tidak sudah-sudah. Tanpa kestabilan politik tidak mungkin dapat dirancang pembangunan ekonomi dan diselenggarakan pendidikan. Bahkan nyawa, harta benda dan kedaulatan negara pun mungkin terancam. Pendek kata maslahah umat menjadi pertaruhan pihak-pihak yang berkepentingan.

Di Mesir perubahan pucuk pimpinan negara diusahakan melalui peti undi manakala di Syria jalannya adalah melalui muncung senjata. Walau apa pun alasan yang diberikan, ternyata kepada yang melihat dan berfikir bahawa di kedua-dua negara berkenaan, perubahan yang berlaku adalah perubahan ke arah yang membinasakan (fasad), bukan ke arah kebaikan seperti yang dikehendaki dari islah.

Seperti biasa, apabila demokrasi tidak menjadi, manakala revolusi membawa kepada pertumpahan darah yang tak sudah, yang disalahkan adalah 'musuh Islam', yang tidak mahu melihat Islam ditegakkan! Itulah retorik yang dimainkan di seluruh dunia Islam bagi meraih simpati terhadap apa yang kononnya adalah perjuangan Islam.

Sampai bilakah kita akan terus memperbodohkan diri sendiri dengan meletakkan kesalahan kepada orang lain? Sejahat-jahat musuh, menurut sebuah hadis, adalah hawa nafsu yang berada dalam diri seseorang itu. Hawa nafsu inilah yang menjadi punca segala kejahatan, maksiat dan kerosakan. Melalui hawa nafsu inilah iblis memperdaya manusia dengan berbagai-bagai cara yang pada zahirnya kelihatan baik tetapi hakikatnya keji dan menjijikkan

No comments:

Post a Comment