Wednesday 10 July 2013

Orang Bujang Pilih Kedai Mamak

Post Pic


SHAH ALAM: Ramadan menjelma kembali. Bulan yang penuh keberkatan ini semestinya ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam untuk menggandakan pahala amalan mereka.

Sebut saja Ramadan, antara perkara yang sering terbayang di minda pastinya kemeriahan suasana berbuka dan juga bersahur.

Restoran dan kedai makan pastinya penuh sepanjang bulan tersebut, terutama oleh golongan pelajar dan mereka yang masih bujang.

Tinjauan Antarapos di restoran mamak sekitar Shah Alam ketika waktu sahur pagi tadi mendapati premis tersebut dipenuhi oleh golongan berkenaan yang rata-ratanya datang secara berkumpulan.

Ahmad Hambali Mohd Puat, 24 tahun, berkata, beliau dan rakan-rakannya memilih untuk bersahur di restoran mamak kerana sekadar mahu menikmati juadah yang ringkas untuk bersahur.

Tambahnya, selain beroperasi 24 jam, restoran mamak juga dipilih kerana faktor persekitarannya yang lebih santai dan perkhidmatan yang diberikan agak memuaskan.

"Kami memang biasa melepak di restoran ini.. Jadi memang tidak menjadi masalah untuk mencari tempat untuk bersahur.

"Tambahan pula ia agak berdekatan. Selain itu, restoran mamak ni persekitarannya santai.. layanan dan makanan di sini juga boleh dikatakan ok," katanya.

Berlainan pula dengan mereka yang lebih gemar bersahur di rumah. Seorang pelajar yang dikenali sebagai Idzuan Hafifi Ismail berkata, beliau dan rakan-rakan serumah kebiasaannya menikmati makanan berat ketika lewat malam terlebih dahulu di luar, sebelum bersahur dengan hidangan ringkas di rumah.

"Biasanya kami akan mengambil makanan berat lewat malam..Kadang-kadang makan di kedai mamak, kadang-kadang beli bungkus. Masa waktu sahur awal pagi, kami makan yang ringkas saja seperti mee segera atau roti.

"Biasanya macam itu lah sekiranya tidak pulang ke kampung halaman," katanya.

Siti Rogayah Tajudin, 24, yang menyewa bersama rakan-rakannya pula lebih gemar bersahur di rumah berbanding di luar.

Katanya yang sudah lebih setahun bekerja, untuk bersahur, beliau dan rakan-rakan kebiasaanya menyediakan hidangan ringkas seperti nasi goreng, atau hanya sekadar menikmati roti, bijirin atau kurma sebagai alas perut.

"Kami jarang sekali keluar bersahur di luar.. Tahun lepas pun begitu juga. Biasanya untuk sahur, kami hanya memasak hidangan ringkas seperti nasi goreng atau jemput-jemput.

"Kalau tidak sempat, kami hanya ambil roti, kurma atau bijirin..sekadar alas perut dan untuk mengambil keberkatan bersahur," katanya.

Sama ada bersahur di rumah mahupun di luar, apa yang pasti waktu tersebut akan dihabiskan bersama rakan-rakan agar suasana lebih meriah, selain bagi mengubati kerinduan masakan yang disediakan ibu di kampong.

No comments:

Post a Comment