Sunday 21 April 2013

Fakta Tersembunyi...

rebutkerusi

Insiden komikal dan kejutan yang mewarnai penamaan calon pilihan raya umum ke-13 semalam berlegar sekitar sebilangan anggota tidak berpuashati lalu bertanding atas tiket bebas, sedikit sebanyak mencalar imej kedua-dua pihak, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
 
Tetapi antara BN dan PR, yang lebih tercalar adalah PR kerana perebutan menjadi calon bukan berlaku dalam parti masing-masing sahaja tetapi juga antara parti rakan komponan sehingga menimbulkan persoalan sejauh manakah kemampuan PR bersepakat?
 
Pertembungan antara komponan parti itu memaksa pengundi berfikir setakat manakah pakatan pembangkang dapat mencapai kesepakatan dalam perkara-perkara lebih besar dan rumit seperti pemerintahan negara?.
 
Apakah maknanya di sebalik pertandingan antara calon PAS dan PKR di tujuh kawasan iaitu Parlimen Labuan dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Panti (Johor), Sg Acheh (Pulau Pinang), Kota Damansara (Selangor), Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir (Terengganu)?
 
Di pihak BN, tiada mana-mana daripada berbelas-belas banyaknya komponan gabungan itu meletakkan calon di kerusi yang disepakati ditandingi calon-calon daripada parti rakan yang dahulu dikenali sebagai Perikatan.
 
BN, seperti juga PR dilanda fenomena segelintir anggota parti yang tidak terpilih, memilih untuk keluar parti apabila bertanding sebagai calon bebas didorong oleh rasa tidak puas hati.
 
Tindakan drastik mereka, kalau menurut pemerhati politik, mungkin juga atas perkiraan mereka boleh menjadi faktor penggenap atau penambah bilangan kerusi dalam penubuhan kerajaan kelak dalam persaingan sengit PRU13.
 
Antara mereka ialah veteran Umno yang pernah menjawat timbalan menteri selama dua penggal dan timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Shariff Omar di kerusi parlimen Tasek Gelugor. Seorang lagi ialah bekas naib ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim, yang ditawar bertanding kerusi DUN Bukit Chandan tetapi bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar atas tiket bebas.
 
Anggota DUN Sungai Dua dari Umno yang juga bekas exco kerajaan negeri, Fadzil Hanafi bertanding sebagai bebas di kerusi DUN Alor Mengkudu. Anggota DAP Jenice Lee Ying Ha, penyandang kerusi DUN Teratai mempertahankan kerusi itu atas tiket bebas.
 
Tokoh DAP dari Melaka Sim Tong Him mempertahankan kerusi parlimen Kota Melaka atas tiket DAP tetapi turut bertanding atas tiket bebas bagi kerusi DUN Kota Laksamana menentang calon daripada partinya sendiri.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN nampaknya tidak terlalu terganggu dengan fenomena anggota parti bertanding atas tiket bebas, namun hari ini menarik perhatian pengundi kepada pertembungan sesama parti PR itu.
 
Berucap merasmikan projek perumahan 'Sentuhan Kasih Felda' di Felda Chini Timur 2 Pahang, beliau menganjurkan pengundi merenungi persoalan jika untuk bertanding kerusi pilihan raya PR gagal berpakat, bolehkah mereka berpakat bagi mengendalikan pemerintahan negara.
 
Bagi Najib, PR bukanlah satu gabungan yang boleh menjamin masa depan negara dan rakyat kerana selain mereka bukan gabungan yang besar, ia juga bukan merupakan gabungan yang satu dengan satu falsafah atau ideologi politik.
 
Kerajaan pembangkang di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor memang kekal tidak berpecah selepas dibentuk berikutan PRU12.
 
Namun seringkali berlaku percanggahan dalam penentuan dasar seperti dalam isu penjualan arak oleh pekerja Islam di Selangor, tukang gunting wanita di Kelantan dan tatatertib berpakaian bagi artis untuk pertunjukan dan papan iklan di Kedah.
 
Namun perbezaan pendirian paling mendasar dan menguji keutuhan pakatan itu ialah antara DAP yang sosialis dan PAS yang memanggil partinya parti Islam, melibatkan pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam.
 
Pemimpin-pemimpin komponan pakatan pembangkang acapkali menegaskan bahawa mereka sepakat mahu menumpukan kepada perjuangan menumbangkan BN dan juga sepakat mengetepikan dahulu apa jua perbezaan dasar antara mereka.
 
Tetapi adakah mereka sudah mencapai kesepakatan dalam isu negara Islam?
 
Pengerusi DAP Karpal Singh, yang pernah menolak keras pelaksanaan hukum hudud dengan ayat "over my dead body" semalam menegaskan kembali bahawa partinya tetap menolak pelaksanaan hukum jenayah dalam Islam itu.
 
PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak lagi melaungkan penubuhan negara Islam yang digantikan dengan slogan 'Negara Kebajikan' tetapi sebahagian anggota parti itu dikatakan mentafsirkan matlamat itu sama dengan negara Islam.
 
Sementara Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengatakan bahawa pemimpin PAS bersetuju dengan penggunaan nama "Allah" bagi panggilan tuhan dalam Kitab Injil namun sebahagian ahli PAS sehingga kini tetap menolaknya.-22/4/2013

No comments:

Post a Comment