Wednesday 8 May 2013

Khalid vs Azmin Berebut Jawatan MB.. PAS Gigit Jari Lagi

Khalid, Azmin rebut kerusi MB Selangor
PAS, DAP, PKR masih tak sepakat calon sesuai isi jawatan

Kuala Lumpur: Jawatan Menteri Besar Selangor kini menjadi rebutan antara ahli PKR yang mahukan Timbalan Presiden parti, Mohamed Azmin Ali manakala DAP dan PAS menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk terus menerajui negeri itu bagi penggal kedua.

Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Borhan Aman Shah, berkata berdasarkan jawatan dalam parti, Azmin adalah pemimpin kanan dibandingkan dengan Khalid yang hanya ahli Majlis Pimpinan Pusat.
“Kita akui kepemimpinan tertinggi pakatan pembangkang akan membuat keputusan berhubung pemilihan Menteri Besar Selangor, bagaimanapun dari segi hierarki parti, amat jelas Azmin pemimpin paling kanan selain memegang jawatan penting dalam PKR.


Mampu tawan lebih kerusi

“Malah, kita percaya sekiranya tidak berlaku pertindihan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara dan DUN Semenyih pada Pilihan Raya Umum Ke-13, PKR mampu memenangi lebih banyak kerusi di Selangor,” kata Borhan yang juga Ketua Cabang PKR Sepang ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya semalam.

Pada PRU-13, PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi DUN manakala PKR 14 kerusi sekali gus menjadi peluang terbaik kepada PAS untuk menerajui Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman sebelum ini dilaporkan berkata, beliau bersedia diberi tanggungjawab sebagai Menteri Besar jika mendapat mandat daripada kepemimpinan pakatan pembangkang di peringkat pusat.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Abdul Khalid patut kekal sebagai Menteri Besar kerana beliau berjaya mempertahankan Selangor dengan memenangi majoriti dua pertiga kerusi pada PRU-13.

Sokong Abdul Khalid

“DAP Selangor juga menyokong penuh Abdul Khalid untuk dikekalkan sebagai Menteri Besar buat penggal kedua..., walaupun DAP memenangi 15 kerusi dan PAS (15), beliau (Abdul Khalid) patut diiktiraf untuk integriti dan perkhidmatannya di Selangor,” katanya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata, parti berkenaan turut bersetuju mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar berdasarkan rekod cemerlang beliau memimpin Selangor sebelum ini.

“Kita bersetuju dan berasakan Abdul Khalid perlu dikekalkan serta meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar buat penggal kedua..., malah prestasi beliau sebelum ini juga amat baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment