Tuesday 25 February 2014

Rasuah Punca Kos Sara Hidup Naik - Ali Hashim

Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata rasuah merupakan punca utama kenaikan kos sara hidup dan barangan di negara ini.

Beliau berkata, penting bagi rakyat menentang monopoli perniagaan serta budaya korupsi yang menebal dalam sistem perniagaan di negara ini supaya sebaran kekayaan lebih menyeluruh dan adil.

“Jihad (lawan) korupsi lebih penting daripada jihad (lawan) orang tengah, ini kerana ramai orang Melayu dan Islam berjaya menjadi orang tengah dalam pasaran.

“Jihad perangi monopoli juga pula diberi perhatian dengan berteraskan strategi bisnes dan mengelak ia didorong ketamakan,” kata beliau dalam Wacana “Bagaimana Ekonomi Islam Mampu Kawal Pasaran” anjuran Sinar Harian semalam.

Pada 18 Januari lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) menyelar sikap 'orang tengah' yang cuba mengambil kesempatan memburukkan kerajaan dengan menaikkan harga barang.

Beliau berkata 'orang tengah' ini cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan BN dengan kaedah menaikkan harga barang yang jelas akan membebankan rakyat.

Sistem kapitalis 'tamak'

Sementara itu, Muhammad Ali juga berkata, sistem pasaran bebas kapitalis “bersisikan ketamakan” yang dianut sekarang menyebabkan ketidakadilan berlaku di negara ini

“Pasaran bebas penting, tapi ada bahayanya sebab perkara ini berlaku di negara kita, yang kaya bertambah kaya, yang miskin jauh tinggal ke belakang, bukan sahaja di negara Islam bahkan ia berlaku di seluruh dunia.

“Kerajaan pula tidak boleh campur tangan dalam pasaran ekonomi namun mereka tidak boleh melupakan peranannya untuk menyeimbangkan kedudukan ekonomi negara,” kata beliau.

Beliau turut mahu kerajaan menyediakan satu platform untuk menjana pendapatan rakyat kerana subsidi termasuk Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) hanya untuk jangka pendek semata bagi mengelak pemberontakan terhadap kerajaan.

“Kenaikan kos sara hidup kerana inflasi tidak boleh ditangani dengan subsidi, kerajaan perlu segerakan tingkatkan pendapatan rakyat.

“Hari ini tiada institusi tertentu untuk menjana pendapatan rakyat dan kenaikan inflasi secara mendadak kini telah menjejas golongan kelas menengah dan pertengahan.

“Malah hal ini boleh membuatkan mereka memberontak kepada kerajaan,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment