Tuesday, 14 January 2014

Sebab Kangkung, Vateran UMNO Nak Tun Mahathir Ganti Najib

Nostalgia untuk zaman yang lebih baik mendominasi minggu ini apabila veteran Umno secara terbuka menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad kembali semula menerajui negara manakala adik perdana menteri memintanya kembali kepada integriti sebagaimana yang dilaksanakan oleh bapa mereka yang juga bekas perdana menteri.
 
Tetapi zaman yang lebih baik ialah apabila Umno adalah dominan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA ) digunakan untuk menutup mulut mereka yang berbeza pendapat, sesuatu yang Tan Sri Zainuddin Maidin sentuh apabila meminta Dr Mahathir dikembalikan untuk memimpin negara.
 
Beliau adalah penyokong tegar Dr Mahathir terkini yang menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti turun. Beberapa blogger pro-Dr Mahathir membuat penyataan yang sama dalam minggu selepas pemilihan Umno lalu ketika kem Najib menang dengan bergaya.
 
Mereka juga bersikap sama terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno pada April 2009, setahun selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum 2008 apabila hilang majoriti 2/3.
Tetapi Umno terpaksa memilih Najib, anak perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan lelaki yang dididik untuk kerja itu selepas bapanya meninggal dunia 38 tahun lalu, semalam.
 
Dan Dr Mahathir bersetuju dengan pilihan itu, di mana beliau menyertai semula Umno sehari selepas Najib menjadi presiden parti. Itu adalah lima tahun lalu dan Najib mengambil kuasa dengan menyedari bahawa zaman kerajaan serba tahu sudah berlalu, melembutkan tekanan undang-undang berkaitan keselamatan dan meliberalisasikan ekonomi, mahu mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, dan ia mengecewakan golongan pro-Dr Mahathir.
 
Pada tahun lalu apabila BN kalah lebih teruk dalam Pilihan Raya Umum 2013, Putrajaya memberikan semula beberapa kebebasan dan keutamaan kepada agenda ekonomi Bumiputera. Namun, golongan pro-Dr Mahathir tetap tidak gembira dan kini mahu perubahan.
 
Jadi, Najib mesti pergi dan Malaysia perlu kembali ke zaman Mahathir di mana pertumbuhan negara adalah tinggi dan mereka yang tidak bersetuju perlu tinggal di Kamunting, padahal baru beberapa hari lalu kita melihat tahanan terakhir ISA meninggalkan pintu kemnya.
 
Tetapi cadangan ini tidak boleh dilaksanakan. Zaman Mahathir mencipta terlalu ramai "kucing gemuk" yang hanya berjaya kerana mereka adalah kroni dan anggota polis yang bergantung kepada ISA untuk menjaga keamanan dan bukannya melalui kerja detektif sebenar.
 
Tidak menghairankan apabila sesetengah pihak mahu kembali ke era itu, untuk menjaga wang dan kuasa mereka dalam tahap persaingan ekonomi di padang permainan yang semakin sama rata dan ekonomi global yang semakin mengecil.
 
Tetapi siapakah di kalangan ahli parlimen Umno boleh menggantikan Najib? Yang pro-Dr Mahathir namakan tidak ada, kecuali Dr Mahathir sendiri mengetuai majlis orang tua untuk melakar masa depan Malaysia.
 
Itulah yang boleh dikatakan tentang bakat yang ada dalam Umno selepas sekian lama Dr Mahathir berkuasa. Ia memperlihatkan apa yang boleh diperolehi daripada demokrasi terpimpin Umno.
Untuk golongan pro-Dr Mahathir, hanya doktor yang baik ini boleh menyelamatkan negara dan pulang ke tahun-tahun kegemilangan 1980-an apabila Malaysia merupakan harimau ekonomi Asia bersama dengan Indonesia, Filipina dan Thailand.
 
Tidak ada orang lain. Tidak seperti syair pujian Datuk Seri Nazir Razak kepada bapanya yang dilihat sebagai seorang yang berintegriti, seorang demokrat dan pejuang nasionalis bagi negara ini lebih daripada untuk bangsa atau keluarganya sendiri.
 
Kedua-dua pro-Dr Mahathir dan Nazir adalah sentimental zaman gemilang, satu untuk seorang lelaki dan satu lagi untuk kehebatan seorang lelaki - sesuatu yang tidak ada pada Najib.
Namun, Najib mempunyai mandat untuk sekurang-kurangnya tiga tahun lagi, kecuali berlaku pemberontakan parti. Tetapi dia mesti membuat keputusan, sama ada untuk melayan karenah golongan pro-Dr Mahathir dan berhenti atau menjadi perdana menteri seperti bapanya.
Dia mesti membuat keputusan segera atau nostalgia ini akan menjadikan dia dan negara jatuh lebih dalam.

No comments:

Post a Comment