Pergerakan
Puteri UMNO Malaysia hari ini mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan memijak
Al-Quran yang disebarkan melalui laman sosial Facebook dan juga provokasi
penggantungan poster-poster berbaur provokasi berhubung kalimah Allah di
beberapa kawasan di Pulau Pinang baru-baru ini.
Ketuanya,
Mas Ermieyati Bt Samsudin menyifatkan perbuatan ini terlalu biadap, berniat
jahat dan sengaja diadakan bagi membangkitkan ketegangan agama di
Malaysia.
“Puteri amat
dukacita dengan perbuatan ini dan menggesa agar pihak Kementerian Dalam Negeri
mengambil tindakan drastik mengenalpasti siapa dalang disebalik perbuatan yang
tidak bertanggungjawab ini dan seterusnya mengheret mereka ke muka pengadilan.
Ini kerana jika tidak dibendung dengan segera, kita khuatir puak-puak pelampau
ini akan bertambah berani mencabar kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di
Malaysia seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan.”
“Saya merasa
amat kecewa kerana ada pihak yang terang-terangan ingin menggugat keharmonian
dan menangguk di air keruh di saat pihak kerajaan bertungkus lumus merapatkan
barisan untuk mengeratkan kembali hubungan 1Malaysia.
Lupakah kita
terhadap usaha nenek moyang kita dahulu bersatu padu dan berjuang
berhabis-habisan bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu untuk memastikan
semua bangsa dapat hidup bebas, aman dan damai? Mengapa kita sewenang-wenangnya
hendak menghancurkan kerukunan yang telah 57 tahun kita nikmati
ini?”
Beliau turut
menyeru kepada rakyat Malaysia, jika masih sayang dan cintakan Malaysia,
hentikanlah perbuatan provokasi ini dan sama-samalah hormati agama Islam sebagai
agama rasmi.
No comments:
Post a Comment