Saturday, 10 March 2012

Wanita Tulang Belakang Hadapi PRU 13


Wanita Barisan Nasional (BN) berjanji tidak akan berpecah belah dan akan terus bekerja keras dalam memastikan kemenangan parti pada pilihan raya umum ke-13.

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu kini sudah melalui proses transformasi yang akan terus bersatu menjadi benteng terkuat bagi parti.

"Golongan wanita merupakan orang yang paling takut sekiranya berlaku sesuatu perkara buruk kepada negara. Sehubungan itu, Wanita akan turun ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membanting tulang,” katanya berucap pada majlis perasmian program Jelajah Sayang Wanita 1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 20,000 anggota Wanita UMNO serta sayap parti dari seluruh negara itu, Shahrizat turut meminta semua pihak supaya tidak mempersoalkan ketaatan Wanita kepada parti.

"Jangan sesekali juga meminggirkan Wanita menjelang pilihan raya ini kerana Wanitalah yang ke hulu hilir, duduk di bawah pokok dalam membantu kelancaran pilihan raya,” katanya.

No comments:

Post a Comment