Insiden Anwar dan Salahuddin Ayub dihalau dari masjid di Pulai Perdana  selepas Anwar cuba memberikan tazkirah maghrib, memberikan indikasi  penting kepada Pakatan Rakyat, khususnya kepada Salahuddin Ayub yang  bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Johor PAS yang pertama  depanjang tempoh penubuhan parti berkenaan.
Institusi masjid di  Johor sangat berbeza dengan institusi masjid di Kelantan mahupun Kedah  apatah lagi Selangor. Masjid-masjid di Johor sentiasa dimakmurkan dengan  pelbagai kegiatan keilmuwan selain aktiviti keagamaan biasa.
Salahudin  Ayub telah dicampak keluar dari kubu kuat PAS kononnya untuk  mengembangkan pengaruh dan membesarkan kejayaan PAS di seluruh negara.  Walau bagaimanapun ramai yang melihat tindakan tersebut sebagai usaha  untuk membunuh Salahuddin Ayub memandangkan PAS sebenarnya tidak  mempunyai tempat di Johor.
Melihatkan kepada reaksi yang  ditunjukkan oleh jemaah di masjid Pulai Perdana itu, Salahuddin  sebenarnya perlu mengambil inisiatif membelakangkan Anwar Ibrahim.  Salahuddin Ayub sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri.
Biarpun  mungkin dia kurang popular di Johor berbanding di peringkat Pusat,  Salahuddin yang turut merupakan salah seorang daripada panel penasihat  SPRM lantikan kerajaan, sebenarnya mampu membentuk kekuatan tersendiri  di negeri kelahirannya itu. 
PAS mungkin sukar  menembusi Johor. Namun gerak kerja PAS yang bersungguh-sungguh  menggunakan kekuatan iltizam ahli-ahli tegarnya, lambat-laun akan  membuka ruang yang lebih besar di Johor sepertimana yang berlaku di  Perak dan Selangor. Bagaimanapun, PAS tidak boleh melakukan kesilapan  besar seperti yang berlaku di Perak menerusi perlantikan dan  pengangkatan Nizar Jamaluddin yang akhirnya memalitkan najis ke muka dan  batang tubuh PAS sendiri. 
Salahuddin Ayub  seharusnya telah menyedari hakikat bahawa Anwar Ibrahim di Johor,  hanyalah cerita dalam bayangan. Mungkin cerita tentang kehebatan Anwar  Ibrahim, laku di Pulau Pinang dan Selangor, Kelantan serta beberapa  tempat yang DAP melihat Anwar sebagai pemangkin sokongan Melayu kepada  parti itu, namun di kebanyakan tempat di Johor, Anwar adalah bahan  ejeken dan lelucon. 
Anwar telah terbukti serba  melawakkan. Kehadirannya di Kampung Melayu Kluang tidak lama dahulu,  tidak sahaja disambut dengan ejekan, bahkan jumlah yang hadir mendengar  ceramahnya juga sangat kecil. Begitu juga di Mersing dan beberapa tempat  yang lain... semuanya menjurus kepada penolakan total terhadap Anwar  Ibrahim dan PKR. 
Potensi PAS di kalangan  rakyat Johor, memang ada. Namun 'kesilapan' PAS yang menjalinkan  hubungan baik dengan DAP dan PKR, pastinya akan menyebabkan PAS menerima  kesan buruk yang lebih besar. 
Dek kerana  itulah, Salahuddin Ayub sebagai 'perintis' kepimpinan utama PAS yang  mahu merampas atau mengubah demografi Johor, seharusnya mencari jalan  yang lebih ideal dan lebih berinovatif berbanding terus mengheret Anwar  Ibrahim ke sana ke sini menjelajah setiap inci bumi Johor, kononnya  untuk menguatkan PAS, walhal apa yang berlaku sebenarnya ialah, Anwar  yang cuba mencari tempat dan kedudukan di negeri tersebut!!!