Monday, 9 September 2013

Mat Sabu Ibarat Telur Di Hujung Tanduk

Pemerhati PAS melihat kedudukan timbalan presiden parti Mohamad Sabu kini dalam keadaan genting apabila mursyidul am Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan hasrat agar jawatan timbalan presiden PAS dipilih dari kalangan ulama.

NONESumber parti melihat kenyataan pemimpin PAS paling berpengaruh itu sebagai arahan dan mungkin juga isyarat kepada para perwakilan untuk memilih pemimpin dari golongan ulama.

Sumber yang dekat dengan Mohamad itu memberitahu Malaysiakini, ia sekali gus memberi peluang cerah menanti pemimpin dari kumpulan ulama untuk merampas kedudukan beliau.
"Isyarat beliau (Nik Aziz) yang mahu dari kumpulan ulama, ia akan mencetuskan gelombang besar.
"Ia dianggap (arahan) supaya perwakilan memilih calon pilihan beliau," kata sumber tersebut ketika dihubungi pagi ini.

Sumber berkenaan juga melihat bahawa penolakan ke atas Mohamad itu dikuatkan lagi dengan latar belakang penceramah popular tersebut yang bukan dikenali sebagai pemimpin ulama.

NONEMohamad juga sering dikaitkan dengan fahaman Syiah, walau dakwaan tersebut berkali-kali dinafikan olehnya.

Menurut sumber berkenaan, perkara ini secara tidak langsung memberi peluang kepada ketua penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk berdepan dengan Mohamad sekali lagi.

Sumber berkenaan mendakwa faktor penolakan berkenaan boleh dilihat sejak pemilihan parti 2011, yang menyaksikan Mohamad dipilih sebagai timbalan presiden.

"Mereka mahu memastikan harapan untuk mengangkat kumpulan ulama yang tergendala pada 2011 tercapai. Inilah kali pertama (pemilihan 2011) ulama kalah dan tidak pernah berlaku sebelum ini," kata sumber.

Dalam pemilihan tersebut, Mohamad berdepan dengan penyandang, Nasharudin Mat Isa dan naib presiden pada masa itu, Tuan Ibrahim.

Menurut sumber, kedudukan Mohamad juga semakin tergugat apabila terdapat usaha untuk mengetengahkan seorang calon "tokoh profesional yang dianggap ulama" iaitu Datuk Mujahid Yusof bertanding jawatan timbalan presiden.

"Akan ada kawasan daripada Perak, Pulau Pinang dan Kedah akan mencalonkan (Mujahid). Tapi kalau berlaku tiga penjuru, kumpulan ulama akan menang.

"Malah kalau perlawanan satu lawan satu pun, Tuan Ibrahim akan menang kerana arus dalam parti menolak Mat Sabu," kata sumber.

Tuan Ibrahim kalah tipis dengan Mohamad dalam pemilihan dua tahun lalu, dengan perbezaan hanya 21 undi.

Nik Aziz dalam laporan pada hari Sabtu lalu meminta agar Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai presiden, dan berharap agar jawatan timbalan tersebut diisi oleh golongan ulama.

No comments:

Post a Comment