Sunday, 6 May 2012

Mengapa Dibantah FGVH, Itu kan Rezeki Peneroka



Dalam beberapa hari lagi, lebih 100,000 peneroka Felda di seluruh negara akan menikmati ganjaran ‘durian runtuh’ yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak baru-baru ini, sebelum penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang dijangka akan berlangsung pada Jun nanti.

Saya pasti kesemua peneroka berdebar-debar dan tidak sabar menanti habuan lumayan yang akan diumumkan oleh Yang Berhormat Perdana Menteri pada 8 Mei kelak.

Kita semua sedia maklum bahawa Felda telah ditubuhkan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Bayangkanlah susah payah hidup para peneroka. Mereka sanggup berkorban dan berpindah ke kawasan terpencil dan hidup dalam serba kekurangan tanpa kemudahan elektrik dan air demi mengusahakan tanah Felda untuk menyara keluarga mereka.

Sanggupkah generasi zaman sekarang berbuat demikian? Saya rasa tidak. Kita sudah biasa dengan kesenangan hidup dan tidak sanggup melalui kepayahan hidup. Rasa sangsi beberapa pihak yang menentang ‘durian runtuh’ serta penyenaraian FGVH amat menyedihkan kerana ia seperti memperlekeh pengorbanan dan penat lelah para peneroka selama ini.

Saya bukannya seorang peneroka Felda. Malah, saya juga bukannya anak kepada peneroka. Namun, saya berasa para peneroka memang layak menerima ganjaran yang bakal dinikmati tidak lama lagi kerana tanpa kita sedari, mereka sudah banyak berbakti kepada kesejahteraan rakyat Malaysia. Pengumuman ‘durian runtuh’ ini memang tepat pada waktunya untuk membalas budi para peneroka yang telah berhempas pulas membanting tulang mengusahakan tanah Felda di seluruh negara.

Jika terdapat beberapa pihak yang masih tidak berpuas hati, saya berharap mereka kikislah perasaan cemburu itu. Jangan nafikan hak orang lain. Jika kita ingin berjaya, marilah kita bekerja keras juga. Insya-Allah, Tuhan akan memudahkan rezeki kita pula.

Azhar Zainal
 
by House PK

No comments:

Post a Comment