Saturday, 12 October 2013

Wartawan Aibkan Mereka Seaib-aibnya..

Niat pasangan pelakon, Aeril Zafrel, 26, dan Wawa Zainal, 22, untuk terus merahsiakan kelahiran anak pertama mereka daripada pengetahuan umum sehingga ke tahun 2015 tidak kesampaian, apabila mereka terpaksa membuat pengakuan sudah pun berkahwin.

Hasil pendedahan media mengenai pernikahan 'rahsia' mereka, pasangan artis ini akhirnya terpaksa berterus-terang sudah pun bernikah pada tahun lalu sehingga melahirkan seorang anak lelaki bernama Ahmad Fakharuddin Attar pada 24 Ogos.

"Saya dan Wawa telah bernikah secara sah pada 25 Februari 2012 dalam satu majlis yang diadakan di rumah pengurus saya di Petaling Jaya, Selangor. 

"Pernikahan itu dijalankan oleh seorang juru nikah yang dibawa dari Sabah, berwalikan bapa Wawa, Zainal Abidin Sulung dan disaksikan oleh pengurus saya sendiri.

"Itu pernikahan pertama kami. Pernikahan yang pertama itu sebenarnya adalah untuk menghalalkan hubungan kami kerana risau menghampiri zina. Selain itu, pernikahan dirahsiakan kerana kami tidak mahu pihak pengurusan Wawa mengetahui mengenai hubungan kami," jelasnya.

Bagaimanapun menurut Aeril, mereka terpaksa bernikah sekali lagi pada 4 Februari 2013 setelah mendapat tahu bahawa Wawa sudah pun mengandung. Ini bagi membolehkan status anak mereka dapat didaftarkan dengan namanya sebagai ayah. 

Kenyataan yang diberikan oleh Aeril dalam sidang media itu telah mengundang suasana 'panas' di kalangan media yang hadir. Soalan provokasi telah diberikan media yang selama ini menganggap mereka telah 'ditipu' oleh kenyataan demi kenyataan tidak benar kedua-dua artis ini yang sebelum ini telah menafikan berita pernikahan mereka. 

Rata-rata wartawan yang hadir menyatakan kesangsian mengenai kesahihan pernikahan kali pertama Aeril yang dikatakannya sebagai nikah 'syariah' kerana ia telah membelakangi Jabatan Agama Islam dan landas undang-undang syariah negara.

Aeril lantas berkata, pernikahan kali pertama itu sudah cukup mencukupi rukun nikah, cuma ia tidak disahkan dalam sebarang dokumen hitam putih mengenai pernikahan itu.

Malah, tindakan Aeril yang memberi penjelasan bahawa dia menghormati pendirian isterinya untuk menyorokkan perkahwinan itu kerana khuatir isterinya akan dimarahi oleh pihak pengurusannya juga dilihat sebagai satu alasan yang tidak kukuh oleh pihak media yang hadir.

Sementara itu, ketika ditanya sampai bila mereka mahu menyorokkan bahawa mereka sudah mempunyai anak, jelas Wawa, dia mahu menyimpan rahsia itu sehingga kontraknya bersama pengurusannya, Metrowealth International Group (MIG) tamat pada 2015.

"Saya mahu menyorokkan kelahiran anak ini sehingga saya tamat kontrak. Selepas itu baru saya akan beritahu kepada pihak media. Tetapi, ada pihak yang telah membocorkan mengenai perkahwinan dan kelahiran anak sulung kami. 

"Pelbagai tohmahan telah dilemparkan berkenaan status sebenar anak kami, dan sebab itu kami terpaksa menceritakan perkara sebenar sekarang," ujarnya yang turut hadir bersama bapa di sidang akhbar itu.

Aeril dan Wawa juga di akhir sidang media telah melahirkan permohonan maaf kepada pihak media kerana telah menipu dalam kenyataan mereka sebelum ini

No comments:

Post a Comment