Penyanyi dan pelakon Soo Wincci mendedahkan 
sikap buruk seorang VIP bergelar Datuk yang sanggup menawarkannya wang RM30,000 
hanya untuk menjadi penemannya makan malam.
Wincci, 27, berkata, insiden itu berlaku 
beberapa tahun lalu ketika di awal kemunculannya sebagai artis yang benar-benar 
menakutkannya.
"Ketika di awal kemunculan, ada beberapa 
individu bergelar Datuk menawarkan saya wang untuk mengajak melakukan perkara 
yang tidak sepatutnya.
"Malah saya pernah didatangi seorang Datuk 
selepas mengadakan persembahan nyanyian yang sanggup menawarkan saya wang 
RM30,000 untuk ajak keluar makan," katanya.
Wincci ditemui pada majlis pelancaran klip 
video ‘single’ terbaharunya Musim Asmara di pusat karaoke Red Box di Sogo di 
sini pada Rabu.
Tambah bekas Miss World Malaysia 2008 itu, 
situasi yang sama turut berlaku di Taiwan, tempat dia melebarkan sayap 
seninya.
"Dekat Taiwan lagi teruk, macam-macam ragam 
orang kaya di sana menawar diri.
"Tetapi mujurlah saya bukan seorang yang mudah 
mempercayai orang. Bayangkan apa yang berlaku kemudian jika saya melibatkan 
dengan orang kaya yang mahu mengambil kesempatan.
“Mungkin kerjaya seni yang selama ini saya 
usahakan akan musnah begitu sahaja," ujarnya.
Wincci juga menyifatkan insiden seperti itu 
adalah sebahagian daripada rencah kehidupan glamor yang perlu dilalui.
Sementara itu, klip video Musim Asmara yang 
turut dibintangi penyanyi Akim Ahmad merupakan taruhan pertamanya apabila dia 
sanggup melabur sebanyak RM50,000 bagi menghasilkan karya itu.
Beritahu Wincci, dia memilih Akim sebagai model 
klip video tersebut memandangkan penyanyi itu menyerupai bekas kekasih 
lamanya.
"Mungkin orang akan tergelak bila saya cakap 
hal ini tetapi memang benar wajah Akim sama seperti bekas kekasih saya.
"Tetapi tidaklah sampai saya nak jatuh cinta 
dengannya kerana dia pun dah ada teman wanita," selorohnya.
Kata Wincci, klip tersebut akan disiarkan 
menerusi YouTube selain menyasarkan untuk memasuki program klip video popular 
MTV Asia. ~Mstar

No comments:
Post a Comment